Saturday, May 28, 2011

Bukan Salah Aku

Hatiku sedikit gembira minggu ini kerana masalah penempatan yang aku hadapi sejak sebulan yang lalu hampir selesai. Aku sebenarnya rasa sangat kurang selesa dengan keadaan ini. Bukan aku yang minta semua ini.

Aku redha dengan apa jua keputusan sebenarnya. Seperti doa yang selalu aku panjatkan pada Ilahi. Andainya kekal di bahagian ini adalah yang terbaik bagiku dan organisasi aku, kekalkanlah aku. Tetapi andainya bertukar ke bahagian lain adalah yang terbaik buatku, lapangkan dadaku untuk menerima pertukaran itu. Aku bersyukur kerana aku sentiasa berlapang dada dengan keputusan itu.

Sebenarnya mungkin ramai yang beranggapan bahawa aku yang minta dikekalkan di bahagian ini. Sebenarnya tidak. Dulu memang aku selalu berkata bahawa aku tidak ingin berpindah ke tempat lain kerana aku sudah terlalu selesa dengan kerja sekarang ini. Tetapi sebenarnya, apabila aku mula melangkah ke bilik temuduga tempoh hari, aku sudah bersedia. Bersedia untuk bertukar ke bahagian lain andainya aku berjaya dalam temuduga tersebut. Dan semasa aku menerima keputusan temuduga tersebut, aku juga bersedia. Bersedia untuk berpindah ke tempat lain. Walaupun jauh di sudut hati aku, aku sangat sayangkan kerja aku sekarang ini.

Namun, atas kepentingan bahagian, Pengarah dan juga Ketua Bahagian aku minta supaya aku kekal di sini. Hal ini kerana bahagian kami baru sahaja kehilangan dua orang pegawai - seorang berpencen dan seorang berhenti. Makanya, pegawai yang dah agak berpengalaman di bahagian ini seperti aku sangat diperlukan. Atas dasar itulah mereka mahu aku kekal di sini. Pengekalan aku di sini bukan atas permintaan aku. Aku tidak minta mereka kekalkan aku di sini. Walaupun aku gembira dengan keputusan ini tetapi aku mahu semua tahu bahawa aku tidak pernah meminta semua itu.

Aku masih ingat pesan abah semasa awal perkhidmatan aku di DBP dahulu. Sebagai staf, seboleh-bolehnya kita jangan minta tukar. Suka atau tidak kita perlu ikut sahaja dengan arahan pentadbiran. Kalau kita minta tukar, pihak atasan akan melihat kita ini sebagai seorang yang tidak akur kepada arahan. Jadi sebagai seorang anak yang patuh, aku pegang dan akur dengan nasihat abah sehingga sekarang. Walau pun pernah suatu ketika dahulu aku menghadapi krisis yang sedikit kritikal, tetapi aku masih akur dengan nasihat abah. Aku hanya panjatnya doa pada Ilahi agar diberi jalan keluar kepada aku. Alhamdulillah, segalanya berakhir dengan baik.

Dan hari ini, aku sekali lagi memanjatkan syukur ke hadrat Allah kerana masalah penempatan aku telah pun diselesaikan di peringkat Jabatan. Dan sekarang aku sedang menunggu surat rasmi tentang perkara itu. Kepada mereka yang terkesan dengan perkara ini, aku mohon maaf. Bukan kehendak aku semua ini berlaku.


Terima kasih kerana membaca. Have a good day!