Friday, May 25, 2012

Hilang Belum Berganti

Pada tarikh ini, 57 tahun yang lalu, lahirnya sebutir bintang di bumi berkat ini. Sudirman Haji Arshad nama diberi. Beliau merupakan anak bongsu daripada 7 orang anak kepada pasangan Haji Arshad Hassan dan Ramlah Dahlan.

Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon. Beliau mula mencipta nama sebagai penyanyi selepas menjadi Johan Bintang RTM pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Sikap beliau yang spontan pada ketika itu dan suara beliau yang unik ternyata telah memikat hati para juri dan juga masyarakat umum.

Satu perkara yang unik tentang beliau adalah beliau bukan sahaja disenangi dan diminati oleh golongan muda, malah golongan tua dan kanak-kanak juga. Bukan sahaja oleh orang Melayu malah disenangi juga oleh pelbagai kaum yang lain di Malaysia. Buktinya dapat dilihat melalui kejyaannya dalam konsert pada 15 April 1986 di jalan Chow Kit Kuala Lumpur. Konsert gergasi percuma itu telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu warga kota yang berpusu-pusu membanjiri jalan itu. Kejayaan ini telah direkodkan dalam Malaysia Book Of Records.

Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di " Asian Popular Music Awards". Acara ini diadakan bersama-sama dengan Salem Music Award Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert Hall, London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk penyanyi hebat Leslie Cheung (Hong Kong) dan Anita Sarawak (Singapura). Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown. Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah.

Antara anugerah lain yang pernah beliau menangi sepanjang hayat beliau adalah seperti yang berikut:



  • Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978
  • "Malaysia's Singing Ambassador" MTDC 1985 ("To know Malaysia is to love Malaysia")
  • Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3,1987
  • Malaysia's Indian Music Award, 1987
  • Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989
  • Asia's Number One Performer 1989. Salem Music Award London
  • Malaysia Guinness Awards
  • No. 1 Malaysian singer (New Straits Times)


  • Beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun selepas 7 bulan menderita dengan penyakit pneumonia. Walaupun sudah 20 tahun meninggalkan kita semua namun nama beliau, lagu beliau masih segar dalam ingatan kita semua. Pepatah melayu ada mengatan "Yang Patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti". Tapi bagi aku secara peribadi "patah belum tumbuh dan hilang belum berganti".

    Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. 



    "Dir,
    Tuhan lebih menyayangi,
    Dari kami, teman mu yang
    Tak pernah mengerti.
    Dir,
    Hanya setelah kau pergi
    Kehilangan amat dirasai."

    Semoga kau tenang di sana.


    Terima kasih kerana membaca. Have a good day!

    1 comment:

    dekdaa said...

    kalau berganti pun, tentunya sudah tak sama!